PETALING JAYA: Pengasas PKR, Syed Husin Ali dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas kesihatannya tiba-tiba merosot.
Mengesahkan perkara itu, anak lelakinya, Muhammad Ali memaklumkan bahawa bapanya dalam keadaan kritikal dan sedang mendapatkan rawatan lanjut.
“Beliau boleh dikatakan tidak sedar keadaan sekeliling dan berada dalam keadaan kritikal. Kita doakan yang terbaik,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT).
Menurutnya, Syed Husin, 87, kini sedang dirawat di Hospital Selayang.
Syed Husin adalah bekas Profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya dan menjadi Timbalan Presiden PKR pada 2003-2010.
Pada Disember 1974, Syed Husin, yang ketika itu bergelar Profesor Madya di Universiti Malaya, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan.
Beliau ditahan selama enam tahun susulan protes terhadap kerajaan oleh petani di Baling dan pelajar di Kuala Lumpur. – UTUSAN










