PONTIAN: Ibarat padang ragut. Itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan keadaan Sungai Ayer Baloi di Kampung Parit Mohayat, dekat sini yang tidak dibersihkan selama enam tahun sehingga sering menyebabkan berlakunya banjir termenung.
Penduduk mendakwa masalah tersebut sudah banyak kali diajukan kepada pihak berkenaan, namun diberitahu tiada mempunyai peruntukan bagi kerja-kerja pembersihan sungai ketika ini.
Seorang pekebun kelapa sawit, Said Salim, 70, berkata, kelewatan kerja-kerja pembersihan sungai dengan alasan tiada peruntukan amat dikesali kerana memberikan kesan terhadap punca pendapatan penduduk kampung.
Menurutnya, banjir termenung yang mengambil masa berminggu-minggu untuk surut menyebabkan pekebun sukar mengeluarkan buah kelapa sawit disebabkan kebun mereka masih digenangi air.
“Sudah macam padang ragut sungai ini, dah tak nampak air kerana dilitupi oleh rumput yang tebal. Tiada sebarang pemantauan daripada jabatan berkenaan, tidak kesian ke dengan orang kampung.
“Kami seperti mengemis untuk mendapatkan perhatian agar sungai ini dibersihkan bagi mengelakkan kebun menerima kesan limpahan air kerana sungai ini sudah mati,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Said berharap kerja-kerja pembersihan sungai dilakukan mengikut keutamaan bagi mengelakkan rumput semakin tinggi dan menutupi sungai.
Seorang lagi pekebun kelapa sawit, Yahya Ngador, 60, turut melahirkan kekesalan dengan kegagalan pihak yang berkenaan untuk menguruskan sungai-sungai di daerah Pontian.
“Bagaimana air hendak mengalir keluar dari kebun dengan cepat jika sungai ini dalam keadaan semak-samun dan tidak diselenggara,” katanya dengan nada kesal.
Beliau bimbang jika kerja-kerja pembersihan masih tidak dapat dilakukan menjelang musim tengkujuh, para pekebun akan terus mengalami kerugian.
Justeru, beliau meminta pihak-pihak berkenaan supaya ‘turun padang’ bagi menyelami keperitan hidup orang kampung yang terpaksa berdepan dengan masalah itu. – UTUSAN










