KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 1,500 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini, hari ini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Zainal Abidin.
Keberangkatan tiba Sultan Mizan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
Timbalan Mufti Terengganu, Profesor Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar mengimamkan solat sunat Aidiladha dan menyampaikan khutbah bertajuk Aidiladha: Kemuncak Kejayaan Seorang Hamba.
Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, Sultan Mizan, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’az dengan diiringi Ahmad Samsuri serta meluangkan masa kira-kira 30 minit bersalam-salaman dengan jemaah.
Selepas itu, Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad berangkat ke makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Al-Muktafi Billah Shah.
Sementara itu, lebih 5,600 ekor ternakan telah telah diberi permit kebenaran sembelih oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu bagi tujuan Ibadah Qurban di seluruh negeri ini pada tahun ini.










