PARIT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak bagi membantu siasatan berkaitan penukaran status tanah rizab Melayu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ahli-ahli MMK yang akan dipanggil itu merupakan mereka yang berkhidmat ketika penukaran status tanah itu berlaku.
Katanya, selain itu, pihaknya turut akan memanggil beberapa saksi lain terutama kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.
“Siasatan menunjukkan memang betul bahawa tanah rizab Melayu telah ditukar kepada pemilikan pegangan bebas dan kini tanah tersebut dibangunkan dengan estet perumahan.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan dan memanggil beberapa saksi terlibat terutama sekali mereka yang ketika itu bertugas di PTG.
“Ini termasuk minit menyuarat berkaitan yang mana dibawa untuk kelulusan exco, jadi exco ketika itu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Anti Rasuah Institut Pendidikan Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor UTP, Datuk Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Pengerusi Majlis Universiti Debat Malaysia (Madum), Profesor Dr Akmal Khuzairy Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari.
Sementara itu, mengulas sama ada terdapat pendakwaan lain akan dilakukan dalam masa terdekat, beliau berkata siasatan kes itu masih dijalankan.
“Itu (pendakwaan) saya belum boleh beri kepastian kerana sekarang siasatan di peringkat kedua selepas kita membuat pendakwaan ke atas seorang pegawai PTG sebelum ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menafikan bahawa pembebasan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah yang ditahan reman oleh SPRM pada Selasa minggu lalu berkait dakwaan sama bererti siasatan terhadapnya selesai.
“Dia dibebaskan kerana telah tamat tempoh reman yang dibenarkan oleh Mahkamah Majistret. Siasatan masih diteruskan, bukan bermakna (bebas) siasatan sudah selesai,” katanya.
Media pada 30 April lalu melaporkan, seorang bekas Timbalan Pendaftar Hak Milik PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menipu agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot tanah rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, 12 tahun lalu.
Rentetan itu, seorang pengarah sebuah syarikat hartanah ditangkap dan ditahan reman SPRM pada 27 Mei lalu bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.
Difahamkan, syarikat suspek berusia 44 tahun itu terbabit melakukan pemecahan lot tanah di mukim berkenaan menjadi tanah bukan Melayu, seterusnya dijual menjadi lot rumah dan banglo. – UTUSAN









