Siti layak dilantik pakar UMCced

Siti layak dilantik pakar UMCced

SITI NURHALIZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mana-mana individu yang berjaya dalam bidang tertentu dan berjasa kepada negara layak dilantik sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini kerana kemahiran individu tersebut kemudian boleh dikongsi bersama dengan pelajar.

“Pada saya, saya mengalu-alukan sesiapa juga yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk dilantik sebagai pakar. Perkongsian pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mereka akan memberi nilai tambah kepada para pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ramai mempersoalkan kewajaran Datuk Seri Siti Nurhaliza diangkat sebagai pakar di UMCced.

Pelantikan itu dibuat bagi tempoh dua tahun selepas institusi itu berkongsi berita gembira institusi itu menerusi media sosial.

Pengumuman itu mengundang perdebatan warga maya yang merasakan penyanyi nombor satu negara itu tidak layak diberikan jawatan tersebut.

Susulan perdebatan itu, penyanyi tersebut menyerahkan kepada institusi terbabit untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.

Perkara tersebut disampaikan pengurusnya, Rozi Abdul Razak yang menyatakan Siti, 45, hanya dapat memberikan maklum balas sebaik pihak berkaitan mengulas isu terbabit.

“Buat masa ini Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan sempena pelantikan pakar UMCCed kerana kenyataan rasmi harus dikeluarkan terlebih dahulu pihak berkenaan.

“Selepas kenyataan rasmi sempena pelantikan ini dibuat, Siti akan memberikan maklum balas kepada media mengenai perkara ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN