SESB rugi RM3 juta akibat aktiviti sambungan elektrik haram

SESB rugi RM3 juta akibat aktiviti sambungan elektrik haram

ABDUL Nasser Abdul Wahid (dua, kanan) menunjukkan meter yang dirampas dalam operasi sambungan elektrik haram di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) mengalami kerugian RM3 juta akibat aktiviti penyambungan elektrik haram di 15 premis perniagaan sekitar negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, daripada 15 premis yang diserbu, sebanyak 10 kes kecurian elektrik melibatkan pelbagai premis termasuk pusat hiburan, pusat pelancongan, kedai perabot, restoran, ladang ternakan udang, kilang ais dan kilang memproses makanan laut.

Serbuan itu dilakukan di premis-premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu, Kota Belud, Tuaran, dan Sandakan.

ECoS telah merampas bukti seperti kabel sambungan haram, meter elektrik yang telah diubah suai dan peralatan elektronik yang digunakan untuk mengganggu meter SESB.

Beliau berkata, tindakan pendakwaan akan dilakukan di bawah Seksyen 61(1) dan Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024. Di bawah Seksyen 61(1), pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk kesalahan di bawah Seksyen 61(3) pula, pemilik permis boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mana-mana pihak yang didapati bersubahat melakukan pengusikan meter atau membuat pendawaian elektrik secara haram juga boleh didakwa di bawah Seksyen 62 Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

“Pada masa yang sama, SESB juga boleh menuntut semula kerugian daripada pesalah laku berdasarkan Seksyen 63 (6) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

“Aktiviti serbuan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan juga turut melibatkan pemeriksaan ke atas pepasangan elektrik, di mana didapati sebanyak 20 unit set janakuasa yang tidak berdaftar dan tidak dilesenkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Nasser berkata, ECoS akan terus melaksanakan serbuan dan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras kecurian elektrik dan memastikan semua pepasangan elektrik didaftar dan dilesenkan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Kata beliau, pengguna-pengguna diingatkan agar tidak membuat sebarang aktiviti pengusikan meter atau penyambungan haram untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil. katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN