Sekolah laksana program dwibahasa perlu ikut garis panduan

Sekolah laksana program dwibahasa perlu ikut garis panduan – KPM

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan program Dual Language Programme (DLP), seterusnya memastikan inisiatif itu dilaksanakan dengan baik berdasarkan garis panduan ditetapkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, susulan itu, pihaknya mengambil perhatian laporan media mengenai bantahan garis panduan pelaksanaan DLP di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang.

Menurutnya, pelaksanaan program DLP adalah berdasarkan garis panduan seperti dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan Dual Language Programme Tahun 2024 bertarikh 19 Mac lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekolah yang melaksanakan program DLP perlu memastikan peluang turut disediakan kepada murid memohon untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda masing-masing.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap tahun atau tingkatan melaksanakan PdP menggunakan bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

“Ia bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 untuk sesi persekolahan baharu mulai tahun 2024/2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata, DLP adalah program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains dan Matematik.

Jelasnya, ia bertujuan membantu murid meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris dengan memberikan pendedahan masa yang lebih melalui PdP Sains dan Matematik di sekolah.

Berhubung isu bantahan pengendalian program DLP yang dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memulakan sesi libat urus dengan semua pihak terlibat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini