NIBONG TEBAL : Calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin, 60, yakin dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau andai diberi mandat sebagai wakil rakyat selepas ini.
Menurut Joohari, kepercayaan yang diberikan terhadapnya sebagai calon Kerajaan Perpaduan tidak akan dipersiakan, malah, beliau berjanji akan bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya kena mula bekerja dari sekarang kerana mereka telah bagi satu kepercayaan, amanah kepada saya.
“Kalau dulu, saya bersara sebab nak berehat, sekarang saya memulakan sesuatu yang baru. Saya akan pikul amanah ini. Setakat ini, ‘track record’ tidak ada masalah, harapnya apabila jadi wakil rakyat juga takkan ada masalah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Joohari berkata, beliau lebih menekankan kepentingan akhlak dalam melaksanakan pekerjaan.
“Justeru, saya akan cuba jaga untuk tidak merendahkan usaha pihak lain dan berharap pihak sana juga akan melakukan perkara sama.
“Dengan sokongan padu rakyat yang sentiasa memberikan semangat dan motivasi, Insya-Allah saya akan pastikan cuba menjadi seorang calon yang baik,” katanya.
Terdahulu, beliau dipilih sebagai calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK tersebut yang diumumkan oleh Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya Perpaduan, Rafizi Ramli pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Sungai Bakap di Simpang Ampat, di sini.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff,pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas menentang calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.-UTUSAN










