KUALA LUMPUR: “Saya harap dia kuat dan doakan yang terbaik untuknya.”
Itu doa dititipkan pelakon, Muaz Zabir buat rakan industri, Bella Astillah, 30, yang sah bercerai talak satu hari ini.
Muaz yang enggan mengulas lanjut perkara itu hanya berharap Bella diberi kekuatan dan kehidupannya berjalan lancar seperti biasa.
“Kita manusia, apa yang kita tahu, terbatas.
“Kadang kita terlalu memikirkan takdir kita di saat itu. Tapi hakikatnya Allah telah sediakan yang lebih baik untuk kita.
“Saya doakan dia bahagia dan urusannya selepas ini berjalan lancar. Saya doakan yang terbaik untuk dia,” katanya.
Muaz berkata demikian selepas sidang akhbar drama Bawah Payung Awan terbitan viu Malaysia yang berlangsung petang tadi.
Bella dan Aliff Aziz disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Perceraian itu rentetan pelakuan curang Aliff dengan beberapa wanita termasuk pelakon, Ruhainies.
Muaz sebelum ini terpalit kontroversi selepas beberapa foto bersama Bella tersebar ketika pelakon itu masih bergelar isteri Aliff.
Kata Muaz dia maklum Bella sah bercerai hari ini namun tidak sempat mengikuti perkembangan tersebut di media sosial.
“Saya tak sempat baca di media sosial kerana sibuk menjalani penggambaran, menghadiri majlis ini dan selepas ini bergegas ke Genting Highlang untuk penggambaran lain.
“Memang saya ada mendengar orang bercakap tentang perkara itu, tapi saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” kongsinya lagi.
Kata Muaz lagi, dia memilih tidak komen lanjut mengenai perkara itu kerana enggan kenyataannya disalah erti netizen.
“Saya tak ada hak untuk bercakap apa-apa. Lebih baik saya berdiam untuk elak kenyataan saya diputar belit.
“Saya dan Bella tidak berkawan dan tidak juga bermusuh. Kami profesional, tak ada masalah untuk kami bekerjasama.
“Saya tak mahu bermusuh. Industri seni ini kecil, pusing-pusing jumpa orang yang sama,” jelasnya.











