Saya bukan boneka Najib - Ismee

Saya bukan boneka Najib – Ismee

ISMEE Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd., Tan Sri Ismee Ismail menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau menjadi boneka Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melaksanakan operasi syarikat pelaburan strategik negara itu.

Ismee, 59, berkata, beliau bukan boneka Najib yang ketika itu pemegang saham tunggal SRC meskipun tidak pernah `berfikir dua kali’ ketika menurut arahan bekas Perdana Menteri.

Ujarnya, beliau bukan sahaja tidak memiliki nombor telefon peribadi Najib yang juga Penasihat Emeritus SRC, malah tidak pernah bertemunya untuk membincangkan perkara berkaitan syarikat sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh pada perbicaraan kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO,) Nik Faisal Ariff Kamil.

Harvinder:  Kamu rasa kamu boneka Datuk Seri Najib?

Ismee:  Tidak.

Harvinder:  Boneka bermaksud apa sahaja beliau suruh kamu buat, kamu ikut tanpa banyak bertanya?

Ismee:  Saya tak rasa begitu.

Harvinder:  Kamu tidak buat justifikasi dan hanya laksanakan tugas bagi pihak Datuk Seri Najib?

Ismee:  Tidak setuju.

Harvinder: Kamu meletak jawatan pada 2014 kerana tidak berpuas hati dengan cara Nik Faisal mengendalikan syarikat? 

Ismee:  Ya.

SRC adalah subsidiari 1MDB yang pada mulanya dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), namun pada 25 September 2009 Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mengambil alih TIA dan dinamakan sebagai 1MDB.

Terdahulu, dalam pernyataannya, Ismee berkata, keputusan pemindahan wang sebanyak RM3.6 billion kepada SRC BVI merupakan keputusan pemegang saham SRC melalui resolusi pemegang saham.

Beliau yang juga bekas ahli Lembaga Pengarah 1MDB berkata, pinjaman itu diperolehi SRC daripada  kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebagai pelaburan.

Bekas CEO Tabung Haji (TH) itu berkata, beliau dan ahli lembaga pengarah lain bukan dalam kapasiti untuk menentang hasrat pemegang saham SRC.

Sehubungan itu, Ismee menegaskan, dakwaan dan tuntutan Najib terhadapnya sama sekali tidak berasas kerana beliau dan Lembaga Pengarah SRC  melaksanakan arahan dan keputusan pemegang saham dengan niat baik tanpa mengesyaki apa-apa perlakuan jenayah.

“Sebarang keputusan atau kelulusan berkaitan pelaburan oleh plaintif adalah atas keputusan

dan kelulusan pemegang saham melalui resolusi yang mana saya tidak mempunyai sebarang kawalan.

“Malahan saya tidak diberikan sebarang kuasa untuk mengawal selia urusan pentadbiran dan perniagaan SRC BVI yang mana syarikat itu ditubuhkan tanpa penglibatan dan pengetahuan saya,” ujar beliau dalam pernyataannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN