Saran harga lantai padi dari RM1,300 ke RM1,600 satu tan

Saran harga lantai padi dari RM1,300 ke RM1,600 satu tan

Kerajaan diminta naikkan harga lantai padi ke RM1,600 per tan dalam usaha mengatasi isu ketiadaan beras putih tempatan dalam pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan pengilang membungkus beras putih tempatan dengan cop beras putih import menyebabkan isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran sehingga kini belum selesai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Nur Fitri Amir berkata, kebanyakan kilang berebut membeli padi dengan jumlah yang banyak.

“Sekarang harga minimum terjamin padi adalah RM1,300 per tan tetapi terdapat kilang di sebahagian tempat seperti Perak dan Kedah sudah menawarkan harga RM1,600 per tan.

“Mereka berebut membeli padi daripada pesawah pada harga tinggi. Oleh itu, mereka menjual beras dengan harga RM40 ke atas dengan menukar kampit yang dicop beras putih import.

“Jadi, ini menjadi isu kenapa beras yang ada di pasaran sekarang adalah kebanyakannya beras putih import,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,600 per tan ekoran terdapat beberapa kilang menawarkan harga pembelian tidak seperti ditetapkan iaitu RM1,300 per tan.

Menurutnya, harga lantai padi perlu dinaikkan kepada RM1,600 per tan agar ia berpatutan dengan kos ditanggung oleh pesawah dalam ekonomi mendesak ketika ini.

Nur Fitri berkata, kerajaan perlu meningkatkan harga beras RM30 kepada RM35 bagi kampit 10 kilogram dan juga harga lantai padi agar ia tidak membebankan pesawah.

“Ini tidak adil kepada pesawah kerana kebanyakan kos sudah meningkat seperti upah membaja dan menyewa jentera semasa kilang menawarkan harga RM1,600 per tan,” katanya.

Senada dengan Nur Fitri, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, kerajaan juga disaran lebih agresif dalam menyelesaikan isu beras putih tempatan masih belum selesai sehingga kini.

“Kerajaan perlu lebih agresif dalam menyelesaikan isu beras putih tempatan dan tidak hanya sekadar cakap mengenai tambahan 140,000 tan beras yang sehingga kini masih tiada di dalam pasaran.

“Kita tidak pasti mekanisme apa yang digunakan oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu ini kerana dilihat beras putih tempatan ini hanya terdapat di jualan-jualan Rahmah tetapi bukan di pasaran,” katanya.

Terdahulu dilaporkan, kerajaan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) bermula 19 Februari lalu.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, dengan nama baharu itu kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan.

Kata Syed Abu Hussin, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini.

“Pengguna boleh mendapatkan bekalan beras putih berharga RM30/kampit di pasaran mulai 1 Mac. Tempoh 19 Feb hingga 1 Mac berikutan mengambil masa untuk dijual di pasaran,” katanya.

Namun, sehingga kini BPT masih tidak kelihatan dalam pasaran walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan stok bekalan barang keperluan itu diedarkan ke seluruh negara.

Pada masa sama, kerajaan juga disaran lebih agresif dalam menyelesaikan isu beras Putih Tempatan (BPT) yang masih belum selesai sehingga kini tiada di pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×