Salur peruntukan TVET lebih baik jika tindakan ‘sakau’ dihentikan - Utusan Malaysia

Salur peruntukan TVET lebih baik jika tindakan ‘sakau’ dihentikan

TVET
ANWAR Ibrahim bersalaman dengan salah seorang pemain industri pada pameran kerjaya sempena Sambutan Hari TVET Negara 2024 dekat Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dikembangkan melalui peruntukan yang lebih besar jika kegiatan rasuah dan sakau dapat dihentikan dengan perolehan semula hampir ratusan juta ringgit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan khianat itu perlu dihentikan kerana negara mempunyai potensi besar dalam sektor TVET apabila menjadi pusat penting pelaburan terutama dalam semikonduktor.

Menurutnya, semua pihak perlu bekerjasama kerana pemerkasaan tersebut merupakan soal negara dan dibina kekuatan serta saling membantu bagi mengangkat martabatnya kerana Malaysia mempunyai keupayaan.

“Kalau gerakkan sekarang dengan pelaburan yang masuk dengan politik yang stabil dan tindakan yang berani dan kita hentikan kerja-kerja sakau, beli barang TVET harga RM40 juta, sakau RM5 juta. Hendak buat projek tebatan banjir, harga RM1 bilion, sakau RM200 juta.

“Ini khianat mesti dihentikan untuk kita dapat pulangkan wang kepada rakyat. Anak-anak kena faham sebab orang marah kita, apa asyik cakap soal sakau, rasuah dan tatakelola? Ya, sebab inilah menyebabkan kita sulit untuk mencari wang sekarang!

“Tangkap di KLIA, Pelabuhan Klang, saya beritahu kepada SPRM geledah tangkap siapapun yang mencuri hak negara kerana kita hendak selamatkan negara ini,” katanya ketika berucap pada Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2024, hari ini.

Lebih 50,000 pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan siswa institusi TVET menghadiri sambutan tersebut sejak semalam yang menyediakan lima pengisian termasuk pameran kerjaya TVET oleh pemain-pemain industri.

Pada majlis tersebut Perdana Menteri turut meluncurkan Dasar TVET Negara 2030 menjadi rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan TVET secara holistik dapat dilakukan menjelang tahun 2030.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, penyasaran semula subsidi elektrik, diesel dan ayam dapat menjimatkan perbelanjaan negara sehingga RM10 bilion.

“Bila kita selamatkan, percayalah ini untuk TVET, kita laksanakan itu berkesan, peruntukan TVET akan ditambah. Bukan untuk naik gaji menteri, bukan beri projek kepada keluarga menteri, tidak. Gaji menteri masih dipotong 20 peratus, Perdana Menteri masih tak ambil gaji.

“Itu dasar penyasaran subsidi, saya umumkan itu kerana dalam masa singkat kita umumkan penyasaran subsidi diesel. Jadi, biar jelas dan terangkan kepada ibu bapa, jimat belanja, hasil bertambah, program TVET kita kembangkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN