RUU bubar MAVCOM dibentang

RUU bubar MAVCOM dibentang

ANTHONY LOKE SIEW FOOK IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 bagi membubarkan Suruhanjaya tersebut dibentangkan ke Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha tersebut merupakan komitmen kerajaan yang bersetuju secara prinsip supaya badan kawal selia industri penerbangan Malaysia digabungkan dan diletakkan di bawah satu entiti.

Kata beliau, fungsi-fungsi MAVCOM dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Pelaksanaan penggabungan badan kawal selia industri penerbangan ini turut melibatkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771), Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788) dan perundangan yang berkaitan dipinda dan dimansuhkan sejajar dengan perkara ini,” katanya semasa membentangkan RUU tersebut bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU berkenaan merangkumi pindaan yang diperuntukkan dalam 14 fasal keseluruhannya, termasuk Fasal 3 yang bertujuan memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan seterusnya membubarkan MAVCOM.

Selain itu, Fasal 4 bertujuan mengadakan peruntukan bagi penurunan kuasa, hak, kewajipan, liabiliti dan obligasi MAVCOM kepada CAAM.

Pindaan Fasal 5 pula bertujuan memperuntukkan semua wang yang ada pada atau kena dibayar kepada Kumpulan Wang Suruhanjaya Penerbangan dan Kumpulan Wang Perkhidmatan Awam dipindahkan kepada Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Kumpulan Wang Suruhanjaya Penerbangan dan Kumpulan Wang Perkhidmatan Awam ditubuhkan di bawah Akta 771, manakala Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengikut Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788).

Fasal lain dipinda adalah Fasal 7, di mana semua perjanjian yang masih berkuat kuasa semasa pembubaran MAVCOM akan diletakkan di bawah CAAM.

Selain itu, Fasal 8 bertujuan mengadakan peruntukan kecualian bagi permohonan yang dibuat atau aduan yang diterima oleh MAVCOM yang belum selesai diuruskan, kepada CAAM.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, MAVCOM tidak bergantung pada peruntukan kerajaan dan perbelanjaan operasi mereka menggunakan hasil daripada kutipan Caj Perkhidmatan Pengawalseliaan (RSC) sebanyak RM1 yang dikenakan terhadap setiap penumpang yang berlepas dari mana-mana lapangan terbang komersial di Malaysia.

Jelasnya, pada 2023 kutipan RSC berjumlah RM36.9 juta, meningkat daripada RM24.3 juta tahun sebelumnya.

Katanya, dari segi perjawatan, jumlah kakitangan semasa di MAVCOM adalah 56 orang terdiri daripada pelbagai kepakaran seperti pakar perundangan, ekonomi, perkhidmatan pengguna, akauntan dan penganalisis kewangan.

“Fungsi-fungsi ini akan terus dilaksana dan diperkasakan apabila MAVCOM digabungkan ke dalam CAAM.

“Penggabungan ini bertujuan mengurangkan karenah birokrasi dan mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan,” jelasnya.

Tambahnya, penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak tidak lagi akan memerlukan dua badan kawal selia berasingan.

“Mekanisme tunggal ini juga diguna pakai di kebanyakan negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan China.

“Penggabungan ini juga dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada di samping meningkatkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN