Runtuhan tebing Jalan Kuala Tahan-Mat Daling gusarkan penduduk

Runtuhan tebing Jalan Kuala Tahan-Mat Daling gusarkan penduduk

KAWASAN runtuhan baharu di jalan raya Kuala Tahan ke Kampung Kuala Sat berdekatan Kampung Pagi, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. –UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 2,000 penduduk Ulu Tembeling di daerah ini bimbang dengan keadaan struktur jalan raya antara Kampung Tuit, Kuala Tahan hingga ke Kampung Kuala Sat di sini berikutan berlaku banyak mendapan serta runtuhan tebing di kiri kanan laluan tersebut.

Keresahan penduduk itu mempunyai asas, antaranya gangguan perjalanan berulang alik ke bandar Jerantut di samping boleh merencatkan sektor ekopelancongan di Ulu Tembeling.

Walaupun ada sesetengah laluan sempurna dengan turapan tar dan kerja membaik pulih runtuhan tebing sedang dilakukan oleh pihak berwajib, berselang jarak antara tiga hingga lima kilometer berlaku runtuhan baharu yang berbahaya khususnya ketika berkenderaan pada waktu malam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Ulu Tembeling, Jamizan Rashid, 46, berkata, Kampung Tuit-Kampung Pagi-Kampung Kuala Sat kerap berlaku mendapan dan runtuhan tebing yang membahayakan keselamatan penduduk dan pelancong.

“Kita tidak nafikan ada usaha baik pulih kawasan cerun dan pembinaan jajaran baharu antara Kampung Pagi hingga Kuala Sat, tetapi masih wujud mendapan dan runtuhan baharu yang mengganggu perhubungan kami ke bandar Jerantut.

“Ia berpunca fenomena musim tengkujuh pada awal tahun berikutan hujan lebat sehingga berlaku hakisan tebing dan runtuhan tanah sedalam lebih 10 meter di kiri kanan jalan,” katanya sini semalam.

Sementara itu, seorang penduduk, Mustapa Abdullah, 35, berkata, runtuhan tebing menimbulkan kebimbangan penduduk melalui kawasan itu termasuk laluan mendap di beberapa tempat antara Kampung Pagi hingga ke Kampung Kuala Sat sehingga menyebabkan ada kenderaan mengalami kerosakan kecil malah ada penunggang motosikal terjatuh ketika waktu malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN