KOTA KINABALU: Paras air Sungai Mesilau di Kundasang masih mengalir seperti biasa namun, sedikit berlumpur susulan runtuhan yang berlaku di kaki Gunung Kinabalu pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, pemantauan telah dilakukan berhampiran Mesilau Nature Resort dan maklumat daripada penduduk kampung berhampiran mendapati air sungai mengalir seperti biasa cuma sedikit berlumpur.
“Pemantauan yang dilakukan mendapati Sungai Mesilau terkesan dengan air lumpur akibat runtuhan tanah yang berlaku di kaki Gunung Kinabalu,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan maklumat daripada pegawai Taman Kinabalu, runtuhan tanah di kaki di Gunung Kinabalu berlaku pada Ahad, kira-kira pukul 1.20 pagi.
Runtuhan itu mengakibatkan banjir lumpur berlaku pada pukul 5 pagi namun, ia tidak menjejaskan kampung di kawasan berhampiran.
Semasa berlaku gempa bumi berukuran 5.9 skala richter di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015, runtuhan yang berlaku mengakibatkan banjir lumpur melanda beberapa perkampungan di sekitar Ranau. – UTUSAN








