RM1 juta sumbangan untuk kegunaan jemaah haji

RM1 juta sumbangan untuk kegunaan jemaah haji

SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memperoleh sebanyak RM1 juta hasil kutipan dana infaq Program Santunan Kasih Baitullah.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dana yang merupakan sumbangan jemaah dan pendeposit Tabung Haji itu akan digunakan bagi memenuhi keperluan kebajikan di Tanah Suci.

“Program ini bertujuan memberi ruang kepada jemaah haji untuk membelanjakan harta mereka di jalan Allah SWT melalui infaq ikhlas.

“Sumbangan ini juga adalah untuk memastikan kesempurnaan pelaksanaan Rukun Islam yang kelima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Syed Saleh, jumlah tersebut berjaya dikumpulkan bermula Januari hingga Mei tahun ini.

Kata Syed Saleh, dengan sumbangan yang diperoleh itu, pihaknya akan membeli 12 alat pembesar suara untuk ditempatkan di maktab dan khemah semasa operasi masyair.

“Ia bagi memudahkan penyaluran dan penyampaian maklumat yang jelas dan berkesan kepada jemaah haji,” ujarnya.

Program Santunan Kasih Baitullah Tabung Haji ini memberikan peluang kepada pendeposit dan jemaah haji untuk memperoleh pahala berlipat ganda kerana ianya akan digunakan bagi membantu keperluan jemaah haji di Tanah Suci.

Sumbangan ikhlas boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian menerusi THiJARI melalui debit akaun simpanan TH kepada Tabung Kebajikan Jemaah Haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN