PETALING JAYA: Tidak berselindung, pelakon, Riena Diana mengakui sedang bahagia menjalinkan hubungan cinta dengan aktor, Keith Foo selepas merek bergandingan dalam drama bersiri Salju Rindu yang bakal bersiaran tidak lama lagi.
Jelas Riena, dia sudah bertemu dengan anak Keith, Skylar dan keluarga aktor tersebut. Dalam masa sama, dia juga memohon doa daripada semua pihak untuk hubungan mereka.
“Ya, Alhamdulillah saya sudah temui kebahagiaan saya sekarang. Dia lelaki yang baik dan kami saling mengambil berat antara satu sama lain.
“Saya sudah berjumpa dengan anak dan keluarganya. Cuma kami hubungan ini masih baru dan tak tahu apa yang akan berlaku pada masa mendatang.
“Kalau boleh, saya tak mahu terlalu memikirkan soal perhubungan ini. Saya serahkan kepada takdir. Doakan yang terbaik buat kami,” katanya.
Pelakon yang popular dengan watak Lailer menerusi drama Kampung People itu ditemui Utusan Malaysia ketika majlis resepsi ulang tahun pertama perkahwinan pasangan selebriti, Janna Nick dan Dini Schatzmann.
Keith ketika ditanya tentang Riena berkata, aktres itu memiliki ciri-ciri wanita idaman yang diimpikannya dan mereka mempunyai banyak persamaan terutama selepas berlakon sama.
“Hubungan ini berputik tanpa sengaja Sebenarnya, kami sendiri pun tak jangka perkenalan kami akan sejauh ini.
“Tetapi lama-kelamaan, saya nampak keserasian kami semakin kuat sehingga kedua-duanya pun rasa macam tak percaya apa yang sedang kami lalui ini.
“Apa yang boleh saya katakan Riena memiliki ciri-ciri wanita yang saya inginkan. Dia membuktikan saya masih ada ruang untuk jatuh cinta semula,” katanya.
Untuk info, Keith pernah mendirikan rumah tangga dengan Kim Raymond pada November 2015 dan mereka dikurniakan anak perempuan bernama Skylar yang kini berusia tujuh tahun.
Namun, mereka memutuskan bercerai secara baik pada hujung 2019.
Sementara itu, Riena sebelum ini menjalinkan hubungan dengan kekasihnya, Nik Afiq namun berakhir pada penghujung tahun lalu.-UTUSAN