ARAU: Ribuan pengunjung yang memenuhi Dataran Lok 9, Kuala Perlis di sini begitu teruja menyaksikan pertarungan sengit para petinju Muay Thai dari seluruh negara yang menyertai Perlis Open Fight Night bersempena sambutan ulang tahun tahun keputeraan Raja Perlis Ke-81.
Sebanyak 16 perlawanan dengan aksi cukup memukau disajikan sepanjang dua malam kejohanan dari 31 Mei sehingga 1 Jun itu sekali gus menjadikan ia sebagai acara terbesar Muay Thai yang pernah diadakan di negeri ini.
Kejohanan julung kali diadakan sekali gus membantu menyemarakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 itu dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Kelab Muay Thai Raja Lebah dengan kerjasama Pekida Perlis serta Muay Thai Chenang.
Abu Bakar berkata, sebanyak 16 perlawanan berlangsung dengan masing-masing membabitkan lapan perlawanan bagi malam pertama dan malam kedua.
Katanya, kejohanan berkenaan menghimpunkan petinju-petinju Muay Thai berbakat dari seluruh negara sekali gus menyajikan perlawanan cukup sengit yang memukau para pengunjung.
“Sambutan sepanjang dua malam itu cukup hebat dengan ribuan orang ramai memenuhi Dataran Lok 9 di sini bagi menyaksikan perlawanan sengit peninju Muay Thai itu.
“Kejohanan seperti ini pertama kali kita buat di Perlis dan saya yakin ia merupakan kejohanan terbesar pernah diadakan di Perlis. Melihat kepada sambutan hebat, kita bercadang menjadikan ia sebagai acara tahunan,” katanya.
Tambah Abu Bakar, Muay Thai sememangnya mempunyai peminat dan tarikan tersendiri yang akan terus diketengahkan di negeri ini.
Malah katanya, ia juga berupaya menarik kehadiran pelancongan luar bagi menyaksikan kejohanan seperti ini dan secara tidak langsung menyemarakkan Tahun Melawat Perlis.
“Kejohanan tersebut juga merupakan antara aktiviti menarik perhatian bersempena Malam Citra Warna Kuala Perlis dan Festival Rakyat yang berlangsung dari 24 Mei hingga 2 Jun,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, usaha beliau memperkenalkan Eyes of Kuala Perlis di Dataran Lok 9 di sini bakal menjadi mercu tanda baharu di Kuala Perlis sekali gus berupaya menarik lebih ramai pengunjung bersempena TMPs.
“Lokasi berkenaan menjadi tapak kepada pelbagai program yang bakal dianjurkan sepanjang TMPs tersebut khususnya dalam mempromosikan aspek kebudayaan, perhotelan, kedai makanan dan pelbagai lagi buat masyarakat khususnya pengunjung luar,” katanya. – UTUSAN










