Razlan selar Annuar dakwa 11 ahli parlimen BN akan lompat - Utusan Malaysia

Razlan selar Annuar dakwa 11 ahli parlimen BN akan lompat

lompat parti
MOHD. RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa dikatakan bermain tipu daya sendiri apabila mendakwa 11 ahli parlimen akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) jika enam kerusi wakil Parti Bersatu tidak dikosongkan.

Malah, selain daripada dakwaan tersebut, beliau juga diselar kerana sengaja mengada-adakan cerita kononnya bekas Ahli Parlimen Ketereh itu akan bertanding di Parlimen Gua Musang dan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan kembali di Jeli.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, Annuar dari dahulu sehingga hari ini secara terus menerus memainkan suatu igauan atau fitnah yang sengaja untuk menimbulkan isu-isu sedemikian.

“Jadi, saya rasa itu suatu perkara yang tipu helah, agenda yang hendak dibuat oleh Annuar, beliau sudah tidak ada sokongan dalam peringkat akar umbi dan nasional.

“Itu juga adalah perkara yang nampak dia tidak tahu hujung pangkal bagaimana maklumat yang beliau dapat. Jadi, apa pun beliau dakwa berkenaan 11 ahli parlimen, saya rasa itu adalah perkara yang dusta dan tipu belaka dan ia sekadar untuk memainkan emosi ataupun isu politik yang tipu daripada beliau,” katanya selepas merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Ketereh.

Terdahulu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), itu meramalkan 11 ahli parlimen daripada Barisan Nasional (BN) akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) jika enam kerusi anggota Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diisytiharkan kosong.

Dalam pada itu, Mohd. Razlan turut mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan dibuat oleh Annuar dan memaklumkan partinya akan kembali kuat seperti dahulu.

“Saya harap, ahli-ahli UMNO boleh terus bersama kita, kita akan berjanji untuk terus mentadbir kerajaan ini sepanjang satu penggal.

“Kita pegang janji kita dan insya-Allah UMNO akan kembali kuat apabila saya lihat ramai akar umbi yang turun menghadiri mesyuarat perwakilan yang berlangsung sekarang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN