PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) konsisten dengan dasarnya iaitu mengarahkan semua ahli dan penyokongnya memberikan sokongan penuh kepada setiap calon yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, dasar Bersatu dalam PRN Johor adalah konsisten dengan Perikatan Nasional.
Katanya, Bersatu tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) dan tindakan itu selaras dengan dasar dan ketetapan Perikatan Nasional.
“Tiada sebarang keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional mahupun dasar rasmi PN yang mengarahkan atau membenarkan sokongan kepada PH atau BN. Jadi Bersatu berpegang kepada keputusan dasar tersebut.
“Keputusan dasar ini menjadi panduan rasmi serta mengikat semua ahli Bersatu dan parti-parti komponen Perikatan Nasional,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, sebarang usaha yang boleh menjejaskan peluang kemenangan mana-mana calon PN boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj.
“Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan peluang kemenangan mana-mana calon Perikatan Nasional boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap usaha bersama parti-parti komponen PN dalam menghadapi PRN Johor,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta penyokongnya mengundi UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang tidak ditandingi PN.
Beliau dilaporkan berkata, ia bagi mengelak perpecahan undi serta mengukuhkan sokongan gabungan itu bagi menentang Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, gesaan itu mencerminkan komitmen PN untuk memastikan undi yang menolak PH tidak berpecah di kerusi yang tidak ditandingi gabungan berkenaan. – UTUSAN










