PUTRAJAYA: Keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak bertanding di semua kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan bermaksud ia memberi kelebihan besar kepada Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mengikut Perlembagaan, setiap parti politik mempunyai hak untuk bertanding.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, BN sebelum ini juga telah muktamad untuk bertanding solo.
“Tapi yang lebih penting bagi saya, setiap parti politik mempunyai hak mereka di bawah Perlembagaan untuk menawarkan calon untuk memberi khidmat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan siri pertama Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas analisis politik yang berlegar kononnya taktik PN tidak meletakkan calon di semua kerusi di PRN Johor dijangka memberi peluang cerah kepada calon BN untuk menang.
Ditanya juga sama ada mungkin akan wujud kerjasama dengan PN selepas ini susulan keputusan PN tidak meletakkan calon di semua kerusi, Azalina berkata, beliau enggan mengesahkan perkara itu.
“Nak cakap tentang kerajaan gabungan ke perpaduan ke, itu mungkin lepas keputusan pilihan raya negeri nanti,” katanya.
Namun, apa yang penting katanya, beliau mahu pengundi Johor supaya mengundi calon BN bagi memberi kesinambungan kepada pentadbiran sedia ada.
“Saya nak mengingatkan pada pengundi Johor, mengundi calon BN mempunyai kelebihan terutama sekali dalam peringkat negeri, kerana ini adalah PRN, bukan pilihan raya pusat.
“Dan yang sangat-sangat penting kalau kita tengok hari ini, ketua kampung, jawatankuasa kerja
kampung dan sebagainya, hubungan itu dilihat sebagai hubungan yang sangat-sangat kena akrab dengan kerajaan negeri.
“Jadi saya harap pengundi akan menggunakan kebijaksanaan untuk undi parti-parti calon-calon dari parti politik yang dapat memujukkan kesinambungan dengan kerajaan negeri. Itu pandangan peribadi saya,” katanya.
Analisis politik mendedahkan, keputusan PN untuk tidak bertanding di 23 kerusi dalam PRN Johor dilihat memberi kelebihan kepada BN.
Malah, jika berlaku pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan Pakatan Harapan (PH) maka, sokongan pengundi PN akan lebih cenderung kepada calon BN. – UTUSAN










