PRK Sungai Bakap: SPR keluarkan 128 kertas undi pos

PRK Sungai Bakap: SPR keluarkan 128 kertas undi pos

Tidak keluar mengundi juga satu keputusan politik setiap pengundi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 128 kertas undi pos kepada mereka yang berhak mengundi secara pos pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik oleh Pegawai Pengurus, dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.

“Kertas undi pos yang telah dikeluarkan ini terdiri daripada 120 undi pos Kategori 1A yang melibatkan petugas pilihan raya dan anggota polis, lima undi pos bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara serta tiga undi pos bagi Kategori 1C iaitu agensi dan organisasi.

“Semua anggota polis yang terlibat dalam PRK telah diberi kertas undi pos. Oleh itu, tiada pusat mengundi awal yang akan dibuka pada 2 Julai ini,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pengundi pos diingatkan untuk membuat penandaan pada kertas undi, mengisi borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan betul, serta mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus sebelum jam 5 petang pada hari mengundi, iaitu pada 6 Julai ini.

“Pengundi juga dinasihatkan untuk menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos atau berkongsi di laman media sosial,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dengan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN