NIBONG TEBAL : Polis Pulau Pinang akan menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau isu berkaitan agama, bangsa dan institusi Diraja (3R) yang dibangkitkan menerusi ceramah serta perhimpunan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam hal ni, pihaknya akan memberikan perhatian khusus terhadap isu terbabit bagi memastikan kempen berjalan lancar.
“Kita telah adakan pertemuan bersama wakil-wakil calon yang bertanding dan memberikan sedikit sebanyak penerangan mengenai apa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang kempen berlangsung terutamanya isu berkaitan 3R.
“Kita nasihatkan mereka untuk elakkan daripada menggunakan isu-isu ini sebagai kempen untuk meraih sokongan.
“Selain itu, kita turut meminta kerjasama semua parti bertanding dan para penyokong parti untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di Jawi, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah turut menasihatkan wakil parti bertanding untuk mengemukakan permohonan permit lebih awal bagi membolehkan pihak polis mengawal serta menyelia sesuatu ceramah atau perhimpunan sekali gus menjamin keselamatan sepanjang aktiviti terbabit berlangsung.
Katanya, setakat ini, hanya satu permohonan permit yang diterima dan jumlah itu dijangka bertambah selepas selesai proses penamaan calon esok.
Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, seramai 800 anggota dan pegawai polis akan ditempatkan sepanjang PRK Sungai Bakap.
Katanya, selain membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan kelancaran proses penamaan calon esok, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada beberapa tugasan lain termasuk mengawal kesesakan jalan raya yang mungkin berlaku.
“Diharapkan proses esok akan berjalan lancar dan kita akan pastikan sepanjang tempoh terbabit, orang ramai tidak ada perasaan takut mahupun ragu-ragu untuk keluar mengundi pada 6 Julai depan susulan isu keselamatan yang akan kita tangani sebaik mungkin,” katanya.
SPR sebelum ini menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap manakala hari pengundian awal pula ditetapkan pada 2 Julai.
Pilihan raya itu terpaksa diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada Perikatan Nasional (PN) pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal sebelum itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bagi kerusi tersebut pada Ogos lepas selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN










