PONTIAN: Disebalik tempahan hanya 10 ekor lembu yang diterima bagi ibadah korban tahun ini, penjualan lembu sado atau panggilannya, Playboy memberikan kelegaan kepada Abd. Samad Basiran
Abd. Samad, 51, berkata, lembu sado dari baka brahman cross itu menarik minat seorang pengusaha ternakan ikan kelisa yang membelinya dengan harga RM10,000 ribu bagi tujuan ibadah korban.
Katanya, Playboy yang dibeli daripada seorang penternak di Segamat pada 2018 ketika berusia satu tahun mampu menghasilkan satu tan daging lembu sepertimana lembu sado lain.
“Saya bersyukur kerana ada individu yang berminat untuk membeli Playboy walaupun pada awalnya secara bergurau, namun individu itu terus bersetuju dengan harga ditawarkan itu.
“Hasrat untuk menjual Playboy memang ada kerana kos makanan yang tinggi pada setiap hari dengan kadar RM6 selain tujuan mencari baka lembu sado yang lain,” katanya ditemui di ladang ternakannya di Kampung Pak Khalib, Pekan Nanas, di sini.
Abd. Samad menambah, selain Playboy, sembilan ekor lagi lembu turut disembelih pada Hari Raya Aidiladha pertama dan kedua yang ditempah oleh Hospital Pontian dan individu sekitar Pekan Nanas. – UTUSAN










