Pesawah simpan duit sejak usia 15 tahun

Pesawah simpan duit sejak usia 15 tahun

Zakaria Hamad ditemani cucunya, Mohd. Syafiq Mohd. Sekari menunaikan haji tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Walaupun usia hampir memasuki satu abad dan telah menempuh pelbagai pahit manis sepanjang hidup, hajat ak­hirnya adalah untuk menunaikan ibadah haji.

Malah selepas dua tahun berturut-turut tawaran ke ta­nah suci terpaksa ditolak, rezeki berpihak kepada Zakaria Ha­mad, 90, kali ini apabila bergelar dhuyufurrahman bagi musim haji 1445H/2024.

Warga emas dari Kampung Bilut, Kota Bharu, Kelantan ini menunaikan ibadah haji diiri­ngi cucu sulungnya, Mohd.Syafiq Mohd. Sekari, 37.

Kata Zakaria, keputusan berat menolak tawaran haji pada tahun 2022 dan 2023 disebabkan keadaan kewangan serta keluarga yang tidak mengizinkan.

Bagaimanapun, pesawah ini berkata, dia tidak pernah berhenti berdoa agar dirinya dijemput sekali lagi ke Baitullah.

“Dua tahun berturut-turut saya terima panggilan tetapi kedua-duanya ditolak atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Tahun ini, ditakdirkan saya terima lagi panggilan haji dan ahli keluarga termasuk cucu banyak membantu terutama dari segi kewangan hingga ak­hirnya saya dapat sampai ke sini,” katanya.

Zakaria berkata, dia mula menyimpan duit untuk menunaikan rukun Islam kelima itu sejak berusia 15 tahun manakala pendaftaran haji pula dibuat pada 2003.

Bagaimanapun, katanya, da­lam kesyukuran dia sedikit sedih apabila keberadaannya di Tanah Suci tidak ditemani isteri, Ramlah Deris, 85, kerana kurang sihat.

“Isteri saya pernah menjalani pembedahan perut bagi membuang ketumbuhan.

“Dia cakap tidak apa saya pergi (haji) dulu dan pesan untuk doakan semua ahli keluarga sihat,” katanya yang berkahwin sejak 65 tahun lalu.

Walaupun usianya hampir mencecah satu abad, tahap kesihatan datuk kepada 11 cucu ini masih lagi baik tanpa ada penyakit.

Daya ingatan dan pertuturannya masih jelas selain mampu bermotosikal ke masjid hampir setiap hari.

Jelas Zakaria, tiada petua tertentu untuk kekal sihat, sebaliknya hanya mengamalkan bacaan pelbagai jenis selawat termasuk tafrijiyah dan petikan surah al-Baqarah dalam rutin hariannya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN