Penggunaan kod QR di BSI dijangka dua minggu lagi

Penggunaan kod QR di BSI dijangka dua minggu lagi

PENGGUNAAN kod QR di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Iskandar Puteri diyakini mampu memendekkan tempoh pemeriksaan di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Penggunaan kod QR di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini menerusi aplikasi MyRentas dijangka mula dilaksanakan pertengahan bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ker­ja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ada penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pihak berkenaan sebelum ia diuji oleh pengguna.

Katanya, pada masa ini, penggunaan kod QR hanya digunakan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Laluan Kedua (LinKedua), di sini.

“Kod QR telah bermula di KSAB, Sabtu lalu bagi warganegara Malaysia yang menaiki bas dan motosikal melakukan pendaftaran MyTrip yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera. Namun, di BSI membabitkan laluan Tambak Johor, vendor masih lagi melengkapkan aplikasi MyRentas dan dijangka akan dapat digunakan dua minggu lagi,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berharap, pengembara antara kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura dapat memuat naik aplikasi yang dibangunkan bagi penggunaan kod QR.

Ditanya tentang pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR di KSAB, penggunaannya berjalan lancar dan disambut baik oleh orang ramai kerana dapat menjimatkan masa.

“Setakat ini, berjalan lancar di KSAB, belum ada apa-apa masalah termasuk isu teknikal yang ketara. Jika ia dapat memendekkan proses sehingga lima saat bagi seorang pengguna, ia dapat melancarkan pergerakan kemasukan pengembara.

“Kita harapkan semua pengembara dapat mencuba dan memberikan maklum balas terhadap inisiatif terbabit yang merupakan usaha kerajaan dalam menangani kesesakan di dua pintu masuk, iaitu BSI dan KSAB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN