Penggemar raja buah tidak pilih jenis, asalkan sedap dan murah

Penggemar raja buah tidak pilih jenis, asalkan sedap dan murah

PEMINAT durian tidak melepaskan peluang untuk menikmati raja buah di Restoran Tong Kayu Cafe di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Keadaan ekonomi yang mencabar pada tahun ini membuatkan peminat-pe­minat durian lebih memilih untuk mendapatkan buah kegemaran ramai itu pada harga yang lebih murah tanpa mengira dari negeri mana ia diperoleh.

Malah, pada tahun ini juga, musim durian Balik Pulau yang bermula agak lewat iaitu pada penghujung Mei, menyebabkan berlakunya pertembungan antara durian Balik Pulau dengan durian dari negeri lain seperti dari Batu Kurau, Perak.

Bagi seorang penjual durian, Mohamad Fakhrullah Shahran, 31, pada tahun ini terdapat trend yang mana penggemar durian tidak lagi memilih dari negeri mana durian itu datang asalkan mereka dapat menikmati durian dengan harga murah.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, pelanggan tanya dahulu durian datang dari mana. Selalunya, durian Balik Pulau menjadi pilihan mereka.

“Tetapi, berbeza dengan tahun ini apabila kebanyakan pelanggan yang datang mahukan durian kampung yang harganya lebih murah. Jadi, durian Batu Kurau kini menjadi pilihan mereka.

“Mungkin disebabkan faktor ekonomi, peminat durian kini sudah beralih selera. Mereka tidak kisah durian dari mana lagi, asalkan rasanya sedap dan harga murah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohamad Fakhrullah, durian kampung Batu Kurau boleh diperoleh dengan harga serendah RM6 sehingga RM17 sekilogram mengikut gred.

“Durian ini dari segi rasa dan kualiti memang baik. Durian kampung Balik Pulau pun sama. Cuma durian kampung Balik Pulau pada tahun ini bersaing dengan durian kampung Batu Kurau.

“Untuk pengetahuan, dari segi varieti durian, Balik Pulau mempunyai pelbagai varieti durian yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Justeru, bagi peminat durian yang mampu, mereka memang tidak kisah membayar durian Balik Pulau dengan harga yang mahal, saya pernah menjual durian Black Torn (premium) de­ngan harga RM140 sekilogram,” katanya.

Katanya, gerainya yang dibuka sepanjang musim durian di restoran Tong Kayu Cafe di Ba­yan Lepas menawarkan pelbagai jenis durian termasuk jenis premium kepada pelanggan.

“Harganya bergantung kepada jenis dan gred buah. Kalau durian Balik Pulau Black Torn (premium) harganya boleh mencecah antara RM90 hingga RM120 sekilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN