Pengganas sasar pegawai polis jatuhkan kerajaan

Pengganas sasar pegawai polis jatuhkan kerajaan

KERATAN akhbar 25 JUN 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ideologi militan Daesh menjadikan pegawai polis sebagai sasaran utama atas dasar kefahaman yang ditanam untuk menjatuhkan kerajaan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Daesh berdiri teguh dengan ideologi yang melampau demi menuntut pemerintahan berprinsipkan ‘khalifah’.

Jelasnya, kumpulan tersebut wajar ditentang kerana bakal mengancam ketenteraman awam dan kemungkinan me­nyasarkan orang kenamaan.

“Dalam fahaman mudah, ia kepercayaan menganggap bahawa di dalam pemerintahan kerajaan itu jika tidak tertegak pemerintahan khalifah mewajarkan mereka membuat penentangan.

“Dalam siri penentangan, mereka itu meletakkan polis sasaran nombor satu untuk mengalahkan kerajaan yang tidak memegang prinsip khalifah. Maka urutan itu dimulai pihak polis, itu ideologinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) Kali ke-40 di Maktab PDRM di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Jelas Saifuddin, cabaran utama dihadapi pasukan polis adalah mengesan pelbagai bentuk ideologi Daesh yang disebarkan kepada pengikutnya.

“Bila disebut ideologi bukan nampak seperti melihat air mengalir, ia tersebar pelbagai cara. Hakikatnya kita berjaya mematahkannya, proses siasatan awal dapati kumpulan ini menyasarkan orang-orang kenamaan pegawai tertinggi polis, itu hasil intipan dan risikan.

“Bagi membendung ideologi ini tersebar, selepas kenal pasti (miliki ideologi) ketika soal siasat, kita klasifikasikan ia sebagai ancaman kepada negara,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dan Islamic State (IS) dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lalu.

Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 70 tahun, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan-lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan bekas pensyarah universiti tempatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×