KUALA LUMPUR: United Kingdom (UK) bakal menjadi destinasi terakhir untuk kerajaan melaksanakan kajian empirikal mengenai pengasingan kuasa antara peguam negara (AG) dan pendakwa raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian tersebut melibatkan sembilan buah negara dan garis masa selama dua tahun.
Menurut beliau, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif sudah pun selesai membuat kajian empirikal di Kanada dan Australia iaitu masing-masing pada 5 hingga 10 Mei lalu serta 2 hingga 6 Jun lalu.
“Negara terakhir yang akan dikaji oleh Pasukan Petugas Khas Komperatif ialah United Kingdom sebagai penutup kepada kajian empirikal.
“Kerajaan sedang membuat persiapan bagi mendapatkan tarikh lawatan dengan pihak United Kingdom dan lawatan akan dilaksanakan apabila ia dimuktamadkan,” katanya ketika sidang di Kamar Khas di Parlimen hari ini.
Kerajaan sebelum ini mewujudkan dua pasukan petugas khas iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal bagi meneliti usaha pengasingan kuasa antara AG dan pendakwa raya.
Mengulas lanjut, Azalina Othman berkata, kajian saintifik berdasarkan perspektif sains kemasyarakatan pandangan umum ke atas pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya sedang dijalankan bagi tempoh enam bulan.
Jelasnya, kerajaan akan melakukan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melaksanakan kajian saintifik itu.
“Kajian ini akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan termasuk masyarakat umum, agensi penguatkuasaan, pakar-pakar berkaitan dan kerajaan negeri.
“Kajian ini juga akan merangkumi pengumpulan dan analisis data dan maklumat daripada pihak-pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah penyelidikan seperti perbincangan kumpulan tersasar,” katanya.
Tambahnya, kajian empirikal dan kajian saintifik yang sedang dilaksanakan secara berfasa ini adalah bukti kesungguhan kerajaan ke arah mengenal pasti model terbaik untuk Malaysia dan kemudian dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat Malaysia untuk terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan terutamanya tentang langkah-langkah yang diambil bagi merealisasikan reformasi institusi perundangan di negara,” jelasnya. – UTUSAN










