Penemuan 40 beg jumbo: JAS Kedah tunggu keputusan Jabatan Kimia

Penemuan 40 beg jumbo: JAS Kedah tunggu keputusan Jabatan Kimia

Jabatan Alam Sekitar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menunggu laporan Jabatan Kimia berhubung penemuan 40 beg jumbo yang disyaki mengandungi bahan buangan terjadual di sebuah kawasan lapang dekat Kulim, Kedah, bagi melengkapkan kertas siasatannya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, JAS telah mengambil sampel buangan tersebut untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenalpasti bahan berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, JAS juga mengawal bahan buangan di tapak penemuan.

“Penemuan itu telah dimaklumkan kepada syarikat berkaitan, PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) dan Pejabat Tanah berhubung lokasi tersebut dijadikan tapak pelupusan haram sisa pepejal.

“Siasatan akan diteruskan dengan kerjasama Pejabat Tanah bagi mengenalpasti pemilik tanah tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Karnival Alam Kita di Taman Tasik Titiwangsa di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa JAS menemui kira-kira 40 beg jumbo disyaki mengandungi bahan buangan terjadual yang diletakkan di kawasan lapang dekat Naga Lilit, Kulim, Kedah.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, buangan itu dikesan pasukan peronda JAS kira-kira pukul 10 pagi.

Katanya, kawasan tersebut didapati turut menjadi kawasan pembuangan sisa pepejal.

“Buangan itu didapati dibungkus menggunakan nama sebuah syarikat terkemuka, walau bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar buangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang Kerajaan Negeri dicadangkan memasang kamera litar tertutup (CCTV) melalui PBT di kawasan panas pembuangan serta lokasi strategik lain seperti jalan masuk ke tapak tersebut.

“Cadangan juga telah diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk pembangunan kawasan industri baharu bagi melaksanakan konsep kawasan industri secara ‘gated and guarded’ supaya memudahkan pengawasan serta kawalan oleh pihak berkuasa.

“Konsep ini juga telah disyaratkan kepada satu kawasan industri baharu di Kulim yang diberi kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) oleh JAS Kedah baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN