PETALING JAYA: Kedua-dua parti besar iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang yang seimbang untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, akan tetapi, melihat kepada sentimen selepas pengumuman rasionalisasi subsidi dan penarikan diesel, itu mungkin akan mempengaruhi sedikit sebanyak keputusan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
“Impak itu akan disaksikan dalam satu ke dua minggu menerusi kenaikan berganda dan sebagainya dan ini akan menjadi bola tanggung kepada mana-mana calon yang mewakili PH,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Untuk rekod, PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang mewakili PN pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Dalam PRN lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, faktor yang memberi kelebihan kepada mana-mana parti sekiranya calon itu memiliki pakej yang cukup lengkap bagi menghadapi PRK Sungai Bakap.
Menurutnya, kerjasama parti gabungan juga diperlukan bagi menguatkan lagi jentera untuk berkempen.
“PN ada peluang untuk pertahankan kerusi DUN Sungai Bakap dengan bantuan akar umbi dan kerjasama parti gabungan.
“Namun, PH juga berpeluang untuk rampas balik kerusi DUN Sungai Bakap kerana kawasan ini pernah dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibawah PH dan juga faktor parlimen yang dipegang oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek,” katanya. – UTUSAN










