PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan daripada pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing yang kehilangan ratusan ringgit wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat pemain itu di Seri Kembangan, Selangor.
Kata beliau, pemain berkenaan dikatakan telah membuat pelaburan itu menerusi satu aplikasi di telefon bimbit miliknya selepas diperkenalkan oleh rakannya.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan sindiket yang terlibat dalam menguruskan aplikasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Susulan Ramli mengingatkan orang ramai tindakan segelintir individu yang membuat pelaburan di dalam skim pelaburan tidak sah hanya akan mengakibatkan mereka mengalami kerugian yang lebih besar.
“Justeru, jangan sesekali terlibat dengan apa jua skim pelaburan tidak berdaftar khususnya yang diiklankan melalui laman sosial dan seumpamanya,” jelasnya.
Terdahulu, Pei Jing dalam catatan media sosialnya, berkongsi insiden malang tersebut dan berharap ruang diberikan kepada beliau bersama keluarga untuk bertenang.
Pemain profesional berusia 31 tahun itu dalam hantaran sama, mengakui telah ditipu hampir semua wang simpanannya oleh sindiket penipuan.
Pertama sekali, kepada saudara-mara dan rakan-rakan saya yang melihat siaran ini, sama ada anda ingin tahu atau prihatin, sila berikan saya dan keluarga saya ruang peribadi untuk menangani emosi kami.
“Tolong beri kami masa untuk memproses segala-galanya, terutamanya ibu saya. Terima kasih,” jelasnya. – UTUSAN









