RAWANG: Tindakan segelintir pekerja asing sebuah gudang logistik di Kundang, di sini, melarikan diri selain menyorok di sebalik timbunan kotak bagi mengelak daripada ditahan, mengundang padah apabila mereka diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.
Menerusi operasi yang dijalankan bermula pukul 11 pagi tadi mendapati gudang itu dikelilingi kawasan semak dan beberapa premis kilang.
Semasa serbuan, pekerja asing yang sedang leka memandu forklif dikejutkan kehadiran JIM dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Tinjauan juga mendapati, gudang terbabit menempatkan asrama pekerja yang tidak mematuhi piawaian apabila dikesan terdapat penggunaan peralatan memasak selain sambungan wayar elektrik yang berbahaya dan bilik kotor.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman berkata, seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas 128 individu diperiksa.
“PATI berusia 21 hingga 51 tahun yang ditahan membabitkan warga Nepal dan Bangladesh. Siasatan awal mendapati rata-rata mereka berperanan sebagai operator di gudang terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Basri berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam yang mendakwa bimbang dan gusar dengan lambakan pekerja asing.
Katanya, bagaimanapun, hasil pemeriksaan di premis terbabit mendapati jumlahnya tidak seramai seperti didakwa.
“Risikan telah dilakukan hampir satu minggu sebelum serbuan dan kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan dan Atipsom JTK Semenanjung Malaysia, Abd. Kadir Muhamad berkata, semakan mendapati majikan telah menyediakan penginapan untuk pekerja, namun ia tidak mengikut syarat yang ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati enam pekerja menginap di penginapan yang ditetapkan oleh majikan mereka.
“Kita akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446],” katanya. – UTUSAN










