KLANG: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi (Ops) Mega dekat sebuah pusat beli-belah terkenal di Bukit Tinggi di sini, kelmarin.
Dalam operasi tersebut, kesemua ditahan adalah warga China, Kemboja, Filipina, Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan selepas pihak berkuasa memeriksa 50 premis perniagaan dan 327 individu di kompleks berkenaan.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataannya berkata, serbuan terhadap pusat beli-belah itu susulan risikan selama dua minggu dan aduan orang awam yang diterima.
Katanya, operasi yang bermula pada pukul 5 petang itu melibatkan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Ketika operasi dijalankan, beberapa warga asing cuba melarikan diri namun cubaan tersebut berjaya dipatahkan hasil koordinasi pasukan operasi dan penggunaan dron bagi memantau laluan keluar.
“Pemeriksaan ke atas 50 premis perniagaan dan 327 individu membawa kepada penahanan 86 warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, JIM turut mengeluarkan 11 Borang 29 (Saman) kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
Dalam operasi yang sama, JPN menahan seorang wanita yang disyaki menggunakan kad pengenalan milik individu lain untuk disiasat mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78).
Pada masa yang sama, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana majikan, pemilik premis atau individu yang menggaji, melindungi atau bersubahat dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM menegaskan tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas,” tegasnya.
Kata kenyataan itu lagi, JIM terus komited membanteras PATI serta membendung sebarang bentuk penyalahgunaan undang-undang imigresen.
“Selaras dengan pendekatan Whole-of-Government, JIM memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi-agensi penguatkuasaan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih bersepadu, menyeluruh dan berkesan.
“JIM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan di seluruh negara secara berterusan. Mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan akan dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian,” jelasnya. – UTUSAN










