SHAH ALAM: Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah sebanyak RM1,000 pada tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Koperal Azizan Asmuni, 46, dan Lans Koperal Mohd. Ekbar Zamanhuri, 34, mengaku tidak bersalah selepas mendengar pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, Azizan didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun menerusi akaun bank ketika melakukan rondaan dekat sebuah stesen minyak di Serdang pada 6 Disember 2023.
Sementara Mohd. Ekbar pula didakwa bersubahat dengan memberikan maklumat akaun milik sebuah syarikat atas nama seorang wanita berusia 37 tahun ketika berada bersama dengan Azizan.
Suapan berjumlah RM1,000 itu bertujuan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu dan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila tempoh lawatan sosial mereka tamat.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Semasa kejadian kedua-dua tertuduh yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dengan Mohd. Ekbar merupakan bekas atlet berbasikal kebangsaan.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu larangan mengganggu saksi pendakwaan, melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah juga menetapkan semula kes ditetapkan 20 Julai ini.
Dalam prosiding tersebut, kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Alimi Mustapha sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hafizuddin Khan Norkhan. – UTUSAN










