[PARLIMEN]  Peruntukan: Syed Saddiq akan berlari 200km tanda protes - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]  Peruntukan: Syed Saddiq akan berlari 200km tanda protes

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melancarkan ‘Langkah Muar’ yang mana bakal menyaksikan dirinya akan berlari sejauh 200 kilometer (km) sebagai tanda protes kepada kerajaan dalam isu pemberian peruntukan kepada pembangkang.

Syed Saddiq berkata, kempennya itu bagi menghantar isyarat yang jelas terhadap ketidakadilan yang dihadapi oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Menurut beliau, ‘Langkah Muar’ juga merupakan misinya untuk meraih dana bagi pusat khidmatnya.

“Larian ini jauhnya dalam 200km, ia akan dimulakan (di Muar) pada esok pagi pada 6.30 pagi esok dan akan tamat pada Isnin iaitu sebelum Parlimen bersidang semula pada pukul 10 pagi.

“Larian ini akan disiarkan secara langsung melalui akaun media sosialnya supaya tidak ada elemen tipu menipu. Tidaklah bermula di jambatan Muar tapi naik motor, basikal dan kereta (untuk) sampai ke Parlimen,” katanya semasa sidang media di Pusat Media di Parlimen Malaysia, hari ini.

Terdahulu, isu peruntukan masih dibangkitkan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang yang mendakwa mereka sehingga kini tidak disalurkan dana  oleh kerajaan ekoran didakwa perlu melalui perundingan dan menepati syarat-syarat tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan, draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang antara lainnya bagi memastikan kestabilan negara dan mengelakkan perpecahan khususnya berkaitan 3R (agama, raja, kaum).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perincian draf terbabit sedang dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada majlis kerja tertinggi (MKT) semua parti politik kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.

Beliau yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata, draf itu juga akan memberi fokus untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga  bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, sudah setahun kawasan parlimen pembangkang tidak diberikan peruntukan oleh Kerajaan Perpaduan seperti yang dijanjikan.

“Parlimen Muar merupakan yang pertama memulakan proses rundingan, bukan sekali tetapi tiga kali, surat pun sudah dihantar tetapi sampai ke hari ini tidak ada kata putus.

“Sebab itu daripada mengeluh, kami pilih untuk beraksi supaya kami dapat terus membuka pusat khidmat kami,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×