KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pengurusan Tunggakan Bil Perubatan Pesakit Warganegara Asing di fasilitinya ekoran tunggakan caj rawatan yang mencecah RM40 juta.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh KKM dan agensi kerajaan yang berkaitan.
Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa tersebut adalah bertujuan untuk meneliti faktor yang menyumbang kepada peningkatan tunggakan bil pesakit warganegara asing di fasiliti KKM dan merangka strategi penyelesaian isu tersebut secara holistik.
“Jawatankuasa Kerja ini akan mengkaji tatacara dan prosedur melibatkan pengurusan pesakit pendatang asing tanpa izin (PATI), pesakit terlantar (bedridden) dan tidak mempunyai waris.
“Selain itu, penambahbaikan dalam liputan dan caruman Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dan perkongsian data berkaitan pesakit di antara kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) menyatakan sejauh manakah kajian terperinci telah dijalankan terhadap prosedur penyediaan deposit dan jaminan bank, kadar caj serta kaedah kutipan bagi warga asing yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, KKM sedang meneliti Panduan Permohonan Penggunaan Surat Jaminan (GL) Syarikat Swasta Dalam Mendapatkan Kemudahan Rawatan Di Hospital KKM Melalui Penyediaan Jaminan Bank.
“Antara perkara yang akan ditambah baik adalah penetapan nilai jaminan bank dan perjanjian dengan syarikat swasta agar penggunaan surat jaminan tersebut adalah relevan dan selaras dengan perkembangan semasa.
“Untuk makluman, sehingga bulan Mei lalu, sebanyak 823 syarikat telah menandatangani perjanjian jaminan bank dengan KKM untuk kemudahan perubatan bagi pekerja asing di fasiliti kesihatan KKM,” jelasnya.
Kataya, isu pengurusan pesakit warganegara asing adalah isu merentasi kementerian dan agensi kerajaan.
“Oleh itu, strategi penyelesaian isu tersebut perlulah ditangani secara holistik dan membabitkan kerjasama daripada semua pihak berkaitan,” katanya.- UTUSAN










