Syria adakan sidang Parlimen pertama - Utusan Malaysia

Syria adakan sidang Parlimen pertama

Sidang parlimen pertama Syria diadakan di Damsyik kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Parlimen peralihan Syria mengadakan sidang pertama pada Ahad, dengan tugas utama merangka Perlembagaan baharu negara dan meletakkan asas kepada sistem demokrasi selepas berdekad-dekad berada di bawah pemerintahan autoritarian.

Televisyen rasmi Syria melaporkan, pihak berkuasa baharu membubarkan Parlimen terdahulu yang sekadar menjadi badan meluluskan keputusan kerajaan. Ia dibubarkan selepas kejatuhan pemerintah lama Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Kerajaan turut mengguna pakai pengisytiharan Perlembagaan sementara bagi mengawal selia tempoh peralihan selama lima tahun.

Timbalan Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Claudio Cordone menyifatkan sidang pertama Parlimen itu sebagai ‘detik penting’ dalam peralihan politik negara. Beliau menegaskan PBB akan mengikuti rapat perjalanan institusi berkenaan dan bersedia memberikan sokongan.

Sepanjang tempoh mandat yang boleh diperbaharui selama 30 bulan, Parlimen itu dijangka melaksanakan beberapa tugas penting, termasuk membentuk jawatankuasa penggubal Per­lembagaan, meluluskan belanjawan negara dan mencadangkan serta meminda undang-undang.

Sidang pertama pada Ahad dihadiri 206 anggota, tidak termasuk wakil dari wilayah Sweida yang majoriti penduduknya komuniti Druze di selatan Syria dan seorang anggota yang me­ninggal dunia selepas dilantik sebelum Parlimen bersidang.

Wilayah Sweida masih belum menamakan wakilnya susulan. Ia disebabkan keganasan berunsur mazhab yang berlaku tahun lalu, walaupun Presiden, Ahmed Al-Sharaa sudah melantik dua wakil dari wilayah itu.

Proses pemilihan anggota turut dijalankan di kawasan utara dan timur laut yang sebelum ini ditadbir pihak Kurdis, selepas kerajaan di Damsyik mengambil alih pentadbiran kawasan itu dan memeterai perjanjian untuk menyepadukan institusi Kurdis ke dalam struktur negara.

Semua wakil mengangkat sumpah sebelum memilih pakar perundangan dari wilayah Hasakeh, Abdelhalim al-Awwak sebagai Speaker Parlimen de­ngan memperoleh 99 undi.

Al-Awwak juga merupakan antara penggubal pengisytiharan Perlembagaan sementara tahun lalu. Mustapha Mussa dan Madonna Beshara yang beragama Kristian, masing-masing dipilih sebagai Timbalan Speaker Pertama dan Timbalan Speaker Kedua.

Dalam ucapan pembukaan, Al-Sharaa menyeru semua ahli Parlimen supaya menjadi contoh dari segi tanggungjawab dan kecekapan, selain membantu membina budaya dialog, kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap institusi negara.

Beliau berkata, Syria kini sedang menulis ‘lembaran baharu’ dalam sejarahnya.

Bagaimanapun, menurut pe­ng­analisis, cabaran besar masih wujud, khususnya berkaitan kebebasan institusi legislatif dan pengasingan kuasa. Ramai rakyat Syria mengkritik meka­nisme pembentukan Parlimen itu kerana tiada pilihan raya secara langsung diadakan, selain penyertaan wanita yang dianggap masih rendah.

Pertubuhan masyarakat sivil turut mempersoalkan penum­puan kuasa eksekutif di tangan Al-Sharaa berikutan ketiadaan jawatan perdana menteri. Selain itu, komposisi Parlimen turut dikritik kerana didakwa tidak mencerminkan kepelbagaian kumpulan agama dan etnik di Syria. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN