[PARLIMEN] 39 orang alami radang paru-paru kerana vape

[PARLIMEN] 39 orang alami radang paru-paru kerana vape

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 39 kes pesakit direkodkan mengalami penyakit kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali) bermula 2019 hingga Jun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak lapan kes pesakit Evali adalah golongan remaja yang berusia 14 hingga 19 tahun.

“Selain Evali, notifikasi kes akibat pendedahan kepada e-liquid atau vape yang diterima oleh Pusat Racun Negara telah mencatatkan sebanyak 111 kes dari tahun 2015 hingga 2023.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 83 kes (74.7%) terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) yang memintanya menyatakan statistik berkaitan remaja atau belia yang telah didiagnosis dengan penyakit akibat penggunaan vape dan tembakau dari tahun 2021 hingga 2023.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, KKM akan terus berusaha mengurangkan kebergantungan kepada produk merokok termasuk vape bagi mencegah berlakunya penyakit Evali terutamanya dalam kalangan remaja atau pelajar.

Jelasnya, antara langkah adalah memperketat larangan penjualan produk merokok kepada golongan orang belum dewasa (OBD), larangan pengiklanan dan penjualan produk merokok serta memastikan pematuhan terhadap Artikel 5.3 WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC).

“KKM juga akan terus menjalankan program intervensi dan advokasi pencegahan merokok bersama pelbagai kementerian, agensi, badan bukan kerajaan dan badan profesional bermula dari pra sekolah, sekolah, universiti dan komuniti untuk memastikan golongan berumur di bawah 18 tahun ini mereka terus kekal tidak merokok.

“Adalah menjadi hasrat dan impian KKM untuk merealisasikan matlamat negara bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok pada tahun 2040,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN