KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, penubuhan SRC International Sdn. Bhd. aneh kerana operasi syarikat itu dikawal dari segenap aspek sama ada oleh Datuk Seri Najib Tun Razak atau melalui proksi yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.
Bekas Pengarah bukan-Eksekutifnya, Datuk Suboh Md. Yassin berkata, perjalanan syarikat pelaburan strategik negara itu tidak sama seperti syarikat sendirian berhad lain.
Menurut Suboh, 73, ini kerana keputusan berkaitan amalan biasa dan undang-undang sepatutnya di bawah bidang kuasa bebas para pengarah, namun beliau mengalami pengalaman yang sungguh berbeza ketika berkhidmat di situ.
Ujar beliau, semua pelaburan penting dan keputusan strategik harus dirujuk terlebih dahulu kepada Najib yang ketika itu Penasihat Emeritus SRC untuk kelulusan manakala Nik Faisal yang ketika itu mengetuai bahagian pengurusan, turut dilihat bertindak bagi pihak bekas Perdana Menteri.
“Kuasa, peranan dan fungsi pengarah-pengarah lain termasuk saya tidak bermakna kerana kami terikat untuk mematuhi arahan Datuk Seri Najib yang disuarakan melalui minit-minit pemegang saham,” ujar beliau.
Suboh memberi keterangan sebagai pihak ketiga (yang pertama) pada perbicaraan kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan Nik Faisal.
Dalam pernyataannya, Suboh berkata, peranan beliau dalam SRC International tiada bezanya ketika berkhidmat sebagai penjawat awam kerana perlu mematuhi arahan Perdana Menteri secara ketat.
Dalam keterangannya, beliau merasakan urusan hal ehwal SRC seperti di jabatan kerajaan di bawah arahan Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.
Ujar Suboh, Najib mempunyai kawalan penuh dan mutlak ke atas semua aspek perjalanan SRC, kecuali Lembaga Pengarah.
“Perkara penting berkaitan pembiayaan, pembukaan akaun bank, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), penasihat undang-undang, setiausaha syarikat, penubuhan anak syarikat dan pembentukan syarikat usaha sama terkandung dalam minit pemegang saham yang dikeluarkan Datuk Seri Najib,” katanya.
Suboh berkata, oleh kerana kedudukan dan kuasa Najib yang luar biasa, pengarah syarikat berasa bertanggungjawab untuk mengikuti arahannya sebagai sebahagian daripada kewajipan fidusiari dan statutori mereka untuk bertindak jujur dan demi kepentingan terbaik SRC serta negara.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. – UTUSAN










