TELUK INTAN: Nelayan darat di Sungai Perak di sini bimbang dengan pembentukan beting pasir di sungai tersebut yang semakin meluas, sekali gus menjejaskan pergerakan bot mereka.
Selain bot nelayan, bot membawa pelancong melawat Pulau Bangau di sini juga terkesan kerana beting pasir tersebut.
Beting pasir menyebabkan laluan sungai yang boleh dilalui bot semakin mengecil, selain penduduk bimbang jika keadaan itu semakin serius, ia boleh menjejaskan aliran air dan menyebabkan banjir.
Seorang nelayan darat, Musa Harun, 65, berkata, pembentukan beting pasir merupakan proses biasa di sungai tersebut namun sejak akhir-akhir ini beting pasir semakin meluas terutama berdekatan dengan tebing sungai.
Menurutnya, beting pasir biasanya akan kelihatan apabila air sungai surut terutama pada musim panas.
“Kawasan pembentukan beting pasir di sini adalah laluan utama nelayan darat ke daerah Bagan Datuk selain digunakan bot pelancong ke Pulau Bangau tidak jauh dari sini serta bot memancing.
“Pembentukan beting pasir ketika ini bukan sahaja di bahagian tepi atau tebing sungai tetapi sudah sampai ke tengah sungai. Ini menyebabkan sungai semakin cetek dan sukar dilalui bot,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, lebih membimbangkan beting pasir yang semakin meluas boleh menjejaskan aliran air Sungai Perak jika hujan lebat. – UTUSAN










