GEORGE TOWN : Bapa kepada Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44,yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak April lalu, berpuas hati dan menerima dengan lapang dada laporan akhir siasatan tragedi itu yang dikeluarkan, Khamis lalu.
Ramli Abd. Hamid, 68, berkata, dia dan ahli keluarganya telah dijemput oleh pihak TLDM untuk mendengar sendiri laporan akhir berkenaan.
“Kami sekeluarga reda dan menerima segala ketentuan takdir yang ditetapkan oleh Allah kepada keluarga kami.
”Benda (nahas helikopter) dah berlaku, kita tidak dapat pertikai pun, Allah takdirkan yang baik untuk kita,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Persiaran Pantai Jerejak, di sini, hari ini.
Dalam tragedi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) termasuk Muhammad Firdaus serta tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terbabit insiden semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Menurut Ramli, hari ini genap 40 hari anak sulungnya itu meninggal dunia dan dia melaksanakan majlis tahlil di rumah untuk mendoakan kesejahteraan anaknya itu.
“Saya jemput ahli keluarga, rakan terdekat, kariah masjid untuk bersama-sama dengan keluarga kami dalam majlis tahlil ini.
”Ramai rakan-rakan anak saya datang, dan sejak daripada hari tragedi ini berlaku, rumah saya tidak putus-putus dikunjungi rakan anak saya. Saya amat berterima kasih atas sokongan mereka kepada keluarga kami,” katanya.
Tambah Ramli, paling mengharukan ialah kubur anak sulungnya itu juga sentiasa dikunjungi orang ramai malah bunga-bunga segar sentiasa berada di atas kubur arwah.-UTUSAN










