KUANTAN: “Ketika kejadian saya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan yang luar biasa. Saya segera bangun dan menjenguk keluar serta melihat asap tebal dari rumah jiran.”
Demikian kata Muktar Muhd. Saleh, 57, ketika menceritakan detik cemas kejadian kebakaran membabitkan rumah sewanya di tingkat atas bangunan rumah kedai di Jalan Wong Ah Jang, di sini petang kelmarin.
Muktar berkata, dia kemudiannya memanggil isteri dan tiga anaknya untuk keluar menyelamatkan diri.
“Saya menutup beberapa suis sebelum lari keluar rumah. Melihat isteri dan tiga anak dalam keadaan selamat, saya berlari semula untuk ke atas tetapi dihalang orang ramai kerana api sudah.
“Saya sudah menyewa di sini sejak 30 tahun lalu. Walaupun sedih dengan kejadian ini tetapi saya reda, paling penting isteri dan ketiga-tiga anak saya selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, seorang peniaga secara dalam talian, Nursyafinaz Abdullah, 27, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak sebelum dikejutkan dengan jeritan suaminya yang memintanya segera membawa keluar tiga anak mereka.
Kebetulan saya sekeluarga baharu balik dari bercuti di Cherating dan tiba di rumah pukul 1 petang. Saya sempat ambil beg tangan dan beg roda yang mengandungi pakaian kami sekeluarga.
“Syukur dokumen penting seperti kad pengenalan, MyKid anak dan kad bank dapat diselamatkan. Cuma saya sekeluarga buntu memikir bagaimana untuk meneruskan hidup sebab semua barangan rumah musnah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, dalam kejadian kebakaran terbabit, enam rumah kedai dua tingkat musnah antara 30 peratus hingga 80 peratus.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 56 tahun mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh kakitangan Kementerian Kesihatan. Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran dan api dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5:34 petang,” ujarnya. – UTUSAN










