MyGiG galak PBT, majlis daerah sedia tempat rehat khas demi kebajikan rider p-hailing, e-hailing - Utusan Malaysia

MyGiG galak PBT, majlis daerah sedia tempat rehat khas demi kebajikan rider p-hailing, e-hailing

MOHD. Sharkar Shamsudin (depan, empat dari kiri) pada majlis perasmian Hub Recharge Rider di Kempas, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan majlis daerah di seluruh negara digesa mengambil langkah proaktif mewujudkan pusat rehat khas bagi kebajikan dan kemudahan penunggang p-hailing dan e-hailing.

Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, inisiatif tersebut penting sebagai sokongan moral dan fizikal kepada ribuan ‘rider’ yang menjadi nadi kepada perkhidmatan penghantaran makanan serta barangan harian.

Menurutnya, contoh terbaik sudah ditunjukkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang berjaya mewujudkan pusat rehat sistematik khusus untuk penunggang p-hailing dan e-hailing di kawasan bandar raya tersebut.

“Tempat rehat dilengkapi fasiliti asas seperti tandas dan surau ini cukup penting bagi memastikan golongan barisan hadapan ekonomi digital ini dapat berehat dengan selesa.

“Langkah ini jauh lebih baik dan tersusun berbanding senario hari ini yang mana kita sering melihat mereka terpaksa menanti pesanan atau berlindung daripada cuaca buruk di bawah pokok dan jejantas,” katanya pada majlis perasmian Hub Recharge Rider di Kempas di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, langkah MBJB itu wajar dijadikan model kerana ia bukan sahaja menyediakan ruang rehat selesa, malah melambangkan pengiktirafan terhadap sumbangan besar golongan rider dalam ekonomi digital negara.

“MyGiG menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Johor atas sokongan padu dalam merealisasikan inisiatif murni ini. Ini adalah bukti jelas dan nyata bahawa kepimpinan kerajaan negeri Johor sentiasa cakna, prihatin, dan komited dalam membela nasib serta memelihara kebajikan warga gig.

“​Seterusnya, jutaan terima kasih turut diucapkan kepada MBJB yang diterajui oleh Datuk Bandar, Datuk Sr. Mohd. Noorazam Osman dan seluruh ahli majlis tersebut di atas komitmen luar biasa mereka mewujudkan pusat rehat p-hailing yang sistematik dan kondusif di Kempas.

“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa penggerak utama ​Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin (Naib Presiden MyGiG) dan ​Datuk Wira Sheikh Ahmad Nafiq Alfirdaous (Pengerusi Majlis Gig Ekonomi Johor). Terima kasih juga kita ucapkan kepada semua syarikat penyedia platform p-hailing yang memberikan kerjasama erat dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN