Muhyiddin hormati keputusan Tok Pa keluar Bersatu, enggan bertanding PRK

Muhyiddin hormati keputusan Tok Pa keluar Bersatu, enggan bertanding PRK

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menghormati keputusan Datuk Seri Mustapha Mohamed yang mengumumkan sudah keluar daripada parti itu dan menolak untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Gua Musang atau Jeli jika pilihan raya kecil (PRK) berlangsung.

Kata Muhyiddin, beliau tidak menerima sebarang berita berhubung perkara itu, namun, tetap menghormati langkah yang diambil Mustapa ketika ini.

“Saya baru dengar dan baca berita yang dia (Mustapa) tidak lagi menjadi ahli Bersatu. Saya tidak dapat berita apa sebab (keluar parti). Mungkin dia lepas sahaja dalam PRU lepas, dia tak nak bertanding lagi.

“Dia lepaskan kawasan Parlimen Jeli dan kita lantik Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang ada di situ.

“Tapi tak apalah, itu pilihan beliau…sahabat saya juga lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi sempena kempen calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail di Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunung di Simpang Ampat di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin bagaimanapun berharap agar Mustapa dapat menghayati kerjasama yang telah diberikan sepanjang beliau menjadi ahli Bersatu.

“Saya harap, dia masih boleh dapat menghayatilah kerjasama yang telah kita berikan waktu dia berada dalam Bersatu dan tidak akan menjadi ahli mana-mana parti lain.

“Itu langkah yang diambil, kita hormatilah keputusan dia,” kata beliau.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mustapa atau popular dengan nama panggilan Tok Pa mengumumkan peletakan semua jawatan dan sebagai ahli dalam Bersatu pada 30 September tahun lalu.

“Saya mengulangi sekali lagi kenyataan yang dikeluarkan pada 2 November 2022 bahawa saya sudah ‘pencen’ daripada politik apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15,” kata Mustapa dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata demikian Ketika menjawab kenyataan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Noor yang sedia memberi laluan kepada beliau untuk bertanding di Parlimen Gua Musang atau Jeli jika PRK diadakan.

Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, langkah untuk mencalonkan Mustapha dan seorang lagi pemimpin ke Dewan Rakyat perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN