PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan kononnya parti itu membantah penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ke dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya membantah kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM).
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muhammad Hilman Idham berkata, keputusan menerima Pejuang sebagai parti anggota PN dibuat secara sebulat suara dan mendapat sokongan penuh daripada Bersatu.
“Bersatu dengan tegas menafikan dakwaan parti ini membantah kemasukan Pejuang ke dalam PN. Hakikatnya, keputusan menerima Pejuang sebagai parti anggota diputuskan secara sebulat suara.
“Bersatu menyokong penyertaan Pejuang dan hanya membantah kemasukan PCM atas faktor pematuhan undang-undang serta implikasi terhadap kestabilan dan keharmonian dalaman gabungan,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menggesa laporan berkenaan diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta memastikan integriti pemberitaan terus terpelihara.
Mengulas lanjut, Hilman berkata, bantahan terhadap PCM dibuat kerana proses permohonannya menimbulkan persoalan daripada sudut pematuhan peraturan dan undang-undang.
Katanya, permohonan tersebut dikemukakan atas nama PCM, namun maklumat kepemimpinan yang disertakan adalah atas nama Parti Wawasan Negara sedangkan pertukaran nama parti dan perubahan kepemimpinan itu belum mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Beliau turut merujuk kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sebelum ini melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Pengerusi PN yang didakwa cuba mendapatkan persetujuan Majlis Tertinggi PN secara tergesa-gesa tanpa penelitian sewajarnya terhadap aspek perundangan dan implikasi di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Hilman berkata, setiap keputusan yang melibatkan hala tuju dan komposisi PN perlu dibuat secara telus, teratur serta berlandaskan undang-undang.
“Tiada mana-mana pihak, tanpa mengira kedudukan, boleh mengabaikan proses yang sepatutnya atau mengharapkan pengecualian daripada peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua.
“Bersatu akan terus mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik, menghormati kedaulatan undang-undang serta memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh PN adalah demi kepentingan gabungan dan rakyat, bukannya didorong oleh pertimbangan politik jangka pendek,” katanya. – UTUSAN










