Bersatu akan bertanding lebih banyak kerusi pada PRN Johor

Bersatu akan bertanding lebih banyak kerusi pada PRN Johor

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika ditemui selepas mesyuarat pengagihan kerusi PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, agihan kerusi melibatkan, Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) turut selesai secara baik dan harmoni.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jumlah keseluruhan kerusi yang akan ditandingi PN.

“Semua calon daripada parti-parti komponen juga akan bertanding menggunakan nama dan logo PN pada PRN Johor kali ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agihan kerusi PN di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Mengulas proses agihan kerusi, Muhammad Sanusi berkata, setiap cadangan yang dikemukakan parti komponen dinilai berdasarkan beberapa faktor termasuk kekuatan jentera, jumlah pengundi, pengalaman, status penyandang serta rekod pernah bertanding.

“Paling banyak (kerusi) Bersatu. Senarai yang dibawa itu berdasarkan keyakinan masing-masing. Jadi kita tengok, kita timbang pemberatnya.

“Itu semua pemberat-pemberat yang menentukan siapa (calon) yang patut dipertimbangkan (bertanding) di situ. Sudah selesai bab itu,” katanya.

Mesyuarat itu dipengerusikan Muhammad Sanusir dan dihadiri Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN