Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani bantu semarak anak muda cinta negara

Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani bantu semarak anak muda cinta negara

ANWAR Ibrahim bersama anak muda pada majlis peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani yang dilancarkan hari ini dirangka untuk menyemarakkan semula semangat kenegaraan dalam kalangan anak muda di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, modul dibangunkan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) itu diubah suai mengikut pengalaman sebelum ini (Program Latihan Khidmat Negara) dan input daripada semua pihak.

Beliau berkata, modul latihan ini direka bagi menghargai sumbangan pemimpin dan pejuang kemerdekaan terdahulu sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Mereka (pejuang kemerdekaan) ini mempunyai jasa dalam mengangkat martabat negara. Bagaimanapun, tidak semestinya pejuang kemerdekaan sahaja sebaliknya dorongan rakyat perlu diambil kira.

“Kita hargai sumbangan pimpinan dan rakyat di zaman silam. Dalam kita bicara soal kemerdekaan jangan dilupa daya juang rakyat.

“Bayangkan ibu bapa miskin sanggup menyerahkan cincin gelang dan rantai bekalan untuk biayai pemimpin negara Terbang ke London bagi perbincangan menuntut kemerdekaan,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di sini hari ini.

Justeru, katanya, anak muda perlu tahu dan bangga dengan sejarah negara malah, semangat itu perlu ditanam demi negara kekal berdaulat, memelihata tatakelola, menentang rasuah dan menyemarakkan semangat baharu.

Anwar berkata, beliau melihat semangat kecintaan anak muda kepada negara kian pudar kerana masing-masing sibuk dengan kepentingan diri serta perkembangan teknologi masa kini.

Menurutnya, modul ini juga harus menghargai sumbangan semua pihak termasuk sumbangan kaum Melayu sebagai tunjang semangat kemerdekaan serta penyertaan pelbagai kaum lain termasuk kaum cina, India, dayak, melanau, kadazan dan sebagainya.

“Kita harus bina kekuatan satu negara dari awal dan anak muda perlu membuat pilihan segera jika tidak mahu terjadi seperti negara lain yang penuh dengan hiruk pikuk, benci membenci dan bermusuhan antara satu sama lain kerana berbeza warna kulit, darjat dan agama.

“Saya yakin anak muda akan memilih membina kekuatan semula negara berteraskan prinsip Sejarah Kenegaraan, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.

Katanya, modul latihan ini juga akan membantu membina kekuatan baru anak muda serta menanam bibit kecintaan terhadap negara.

Jelasnya lagi, modul ini juga diharap tidak terlanjur atau menjadi medan menanam bibit kebencian sebaliknya menanam rasa kasih sayang perpaduan cinta negara seperti digariskan dalam al-Quran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN