KLANG: Syarikat antarabangsa yang terlibat dalam pencarian kapal terbang Malaysia Airlines MH370, Ocean Infinity akan mengambil kira maklumat penemuan isyarat pesawat tersebut bagi meneruskan misi operasi pencarian.
Perkara tersebut terkandung dalam kertas cadangan daripada firma tersebut dan sebarang maklumat terbaharu semestinya akan diteliti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ocean Infinity yang terlibat dalam usaha pencarian dasar laut mempunyai teknologi submarin bagi mengesan pesawat tersebut.
“Memang ada perbincangan dengan syarikat itu dan kita (kementerian) sedang menilai proposal (cadangan) berkenaan. Selepas selesai, ia perlu dibentangkan kepada Kabinet sebelum kita boleh melantik mereka sebagai syarikat yang terlibat dalam operasi pencarian MH370.
“Jadi, maklumat-maklumat baharu ini (isyarat pesawat) akan diambil kira oleh Ocean Infinity,” katanya selepas merasmikan majlis persinggahan sulung kapal kontena M.V. MTT Bintangor, hari ini.
Kelmarin, penyelidik Britain mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang di Lautan Hindi sedekad lalu.
Isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin di Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.
Sebelum ini, Siew Fook memaklumkan kertas cadangan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian MH370 akan dibawa ke peringkat Kabinet pada Ogos depan.
Oceans Infinity dilaporkan bersedia untuk memulakan misi pencarian pada November depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya mengalukan pelaburan daripada syarikat perkapalan tempatan untuk mendapatkan kapal baharu bagi meningkatkan kapasiti dan industri berkenaan.
“Perkara itu amat penting bagi memastikan pembekalan kita dapat dikekalkan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kapal asing.
“Industri perkapalan ketika ini dikatakan menghadapi trend permintaan melebihi penawaran kerana pelbagai tempat mempunyai konflik dan isu masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN










