Mekanik mengaku tak bersalah tipu tawaran kerja berjawatan tinggi

Mekanik mengaku tak bersalah tipu tawaran kerja berjawatan tinggi

ANG Joo Hong (tengah) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang mekanik dihadapkan di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menipu dua individu dengan menawarkan pekerjaan berjawatan tinggi melibatkan kerugian berjumlah RM62,950 beberapa bulan lalu.

Tertuduh, Ang Joo Hong, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menipu seorang individu berusia 56 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM58,230 bagi tujuan mendapatkan pekerjaan dengan jawatan yang tinggi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Autoworld, Jalan Perusahaan Bukit Tengah dalam daerah Seberang Perai Tengah antara 2 Mac sehingga 4 Mei lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas didakwa sekali lagi atas pertuduhan memperdaya seorang individu berusia 53 tahun menggunakan taktik sama sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM4,720.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Impian Indah pada 22 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurshakila Dahari.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan minimum dikenakan atas alasan dia menghidap penyakit jantung dan perlu menyara seorang isteri dan tiga anak dengan gaji bulanan sebanyak RM2,800 sebulan.

Tertuduh juga memaklumkan yang dia terpaksa menjual ikan untuk menjana pendapatan sampingan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN